Translate

Tuesday 27 November 2012

ADAT KEMATIAN KAUM INDIA



Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau dikebumikan. Untuk melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan.

Semasa Kematian  :  Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang. Setelah itu barulah si mati dibalut dengan menggunakan kain. kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas.. Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki.

Upacara Menanggalkan Thaali  :  Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal dunia.

Upacara Vaaikkarisi  :  Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. 

Kollic Catti  :  Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada pusingan ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap mayat.

Selepas Kematian  :   Selepas selesai upacara pengebumian, beberapa adat seperti berikut akan dilakukan seperti membersihkan rumah, mengumpul abu mayat dan berkabung.

ADAT KEMATIAN KADAZANDUSUN



SEMASA KEMATIAN

Terdapat beberapa adat yang dilakukan ketika berlakunya sesuatu kematian di kalangan masyarakat Kadazan, Antaranya ialah adat memberitahu, berjaga-jaga dan moginupus.

i)          Memberitahu

Apabila salah seorang di kalangan masyarakat Kadazan meninggal dunia, semua penduduk kampung akan diberitahu tentang kematian tersebut. Ini penting kerana setiap ahli masyarakat perlu bekerjasama supaya kesedihan tidak hanya dialami oleh keluarga si mati.

Setiap anggota masyarakat Kadazan yang tinggal berhampiran tidak boleh melakukan apa-apa pekerjaan terutama apabila upacara pengkebumian dilakukan. Pekerjaan menanam padi amat dilarang. Pekerjaan itu hanyalah sia-sia kerana tidak mendatangkan hasil. Selain itu kemungkinan penyakit akan menimpa mereka pula.

ii)         Berjaga-jaga

Selepas dimandikan dan seluruh badan dilap, mayat tersebut akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah dan kemudian direnjiskan dengan air wangi. Sekiranya semasa hidup si mati menghisap rokok, ahli keluarga akan memasukkan rokok ke dalam mulut si mati supaya tidak kempunan.

Mayat akan disimpan di rumah selama beberapa hari. Semasa mayat diletakkan di ruang tamu, mayat akan dijaga dengan baik. Tujuannya  adalah untuk mengawasi iblis atau jin yang menyerupai seekor burung yang dipercayai akan menerbangkan mayat. Untuk mengelak daripada serangan burung itu, mereka menyangkut pakaian di sekeliling mayat. Burung itu akan menyangka pakaian tersebut adalah tubuh rnanusia.

iii)        Moginupus

Moginupus adalah bahasa Kadazan yang bermaksud simpati terhadap si mati. Ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai akan menangis sekuat hati sebagai menunjukkan simpati terhadap si mati.

PENGEBUMIAN

Pada umumnya masyarakat Kadazan akan mengusung mayat dengan menggunakan keranda atau tajau. Oleh itu mayat terlebih dahulu dimasukkan ke dalam kain yang dibungkus dan diikat pada sebatang kayu untuk memudahkan orang ramai mengangkat mayat tersebut. Usungan mayat itu seringkali disertakan dengan paluan gong, gendang, letupan mercun atau senapang.

Apabila tiba di kubur, mayat itu dijampi oleh seorang tua yang dikhaskan menunggu di liang kubur. Liang itu disapu dengan daun pinang hijau untuk mengelakkan semangat orang ramai yang mengikut ke kubur itu tinggal di liang tersebut.

Kemudian mayat diletakkan di dalam liang dan sebatang kayu beringin dicacakkan di atas pusat mayat. Selepas itu barulah mayat dikambus dengan tanah. Tujuan berbuat demikian untuk mengetahui adakah si mati ingat pada keluarganya atau tidak. Kalau kayu itu bertunas bererti dia masih ingat pada keluarganya tetapi jika tidak, si mati dianggap sudah melupai mereka yang masih hidup.

Setelah itu sebuah pondok kecil beratap daun atau zink dan berdinding papan yang penuh dengan ukiran yang cantik akan didirikan di tengah-tengah kawasan perkuburan. Di tengah-tengah pondok pula diletakkan beberapa jenis kain dan pakaian, cekapa yang berisi dengan sirih pinang, rokok dan sebagainya mengikut kemampuan dan kegemaran si mati semasa hidup.

Ahli keluarga si mati perlu menghantar makanan pada tiap-tiap petang selama tujuh hari berturut-turut. Mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan, sebelum roh si mati berpindah ke tempat lain, roh itu masih memerlukan makanan daripada keluarganya yang masih hidup. Bahan makanan yang disediakan untuk si mati tidak boleh diusik oleh sesiapa. Jika diganggu juga seseorang itu akan dikenakan sugit atau denda sebanyak RM5 atau seekor ayam.

Mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan, sekiranya masa pengkebumian dilakukan pada hari hujan, bermaksud si mati berada dalam kesedihan yang diibaratkan sebagai hujan yang turun itu adalah air mata si mati. Jika panas terik bermakna si mati mendapat kebahagiaan kelak. Bagi mereka yang menguruskan kematian, ahli keluarga wajib menghadiahi mereka sehelai sapu tangan dan dua lembar benang menah. Selain itu mereka juga akan diberi daging kerbau atau lembu.

Apabila balik ke rumah masing-masing, mereka tidak boleh terus naik ke rumah kerana dikehendaki mandi terlebih dahuhu. Semua pakaian ditanggalkan dan direndam sehingga keesokan hari. Barangan yang dipinjam untuk menguruskan hal si mati di rumah, apabila dikembalikan hendaklah dihadiahkan seekor ayam hitam atau putih kepada tuan punya barang. Banang-barang atau harta benda yang ada di dalam rumah si mati pula mestilah dikemaskan dan dicuci sehingga bersih.

SELEPAS KEMATIAN

Sekiranya berlaku kematian, majlis makan akan diadakan. Majlis ini mempunyai beberapa tahap iaitu:

i)          Makan Tiga dan Tujuh Hari

Setelah genap tiga hari mayat dikebumikan, kenduri makan tiga hari akan diadakan pada malam hari. Pada masa itu keluarga si mati akan menitikkan tiga titik lilin ke bawah rumah melalui celah lantai. Sekiranya adat makan tujuh hari dilakukan, titikan lilin sebanyak tujuh kali pula dilakukan.

Kenduri ini hanya diadakan secara kecih-kecilan sahaja. Hanya saudara-mara dan sahabat-handai yang terdekat sahaja dipanggil menghadiri kenduri tersebut. Makanan yang disediakan adalah makanan harian masyarakat Kadazan dan tidak ada makanan istimewa yang disediakan.

ii)         Makan Empat Puluh Hari

Kenduri ini diadakan selepas empat puluh hari kematian si mati. Kenduri kali ini berbeza daripada kenduri yang pertama kerana diadakan pada waktu siang dan malam. Kenduri ini juga lebih besar dengan memanggil seluruh keluarga yang ada pertalian dengan keluarga si mati, sahabat handai yang jauh dan dekat.

Dalam kenduri itu juga seorang kanak-kanak lelaki yang biasanya anak si mati akan pergi ke kubur bapa atau ibunya dengan tujuan menjemput si mati untuk menyertai kenduri tersebut. Setelah kanak-kanak itu pulang dari perkuburan, barulah mereka yang berada di rumah si mati boleh menjamu selera.

iii)        Makan Seratus Hari

Kenduri akan terus diadakan setelah seratus hari kematian. Kenduri kali ini lebih besar jika dibandingkan dengan kenduri empat puluh hari. Jika kenduri dahulu hanya muzik dimainkan, hanya dijamukan dengan ayam, kuih-muih atau buah-buahan, tetapi kali ini kenduri dilakukan dengan menyembelih seekor kerbau atau lembu. Pada masa yang sama beberapa ekor ayam turut disembelih.

Tujuan kenduri seratus hari ini diadakan untuk merasmikan penukaran pakaian putih yang selama ini dipakai sebagai pakaian berkabung keluarga si mati dengan pakaian biasa. Kemudian rambut juga digunting mengikut adat masyarakat Kadazan. Sebaik sahaja ditanggalkan, pakaian tersebut segera dibakar. Ahli keluarga bebas memakai pakaian mengikut kegemaran masing-masing. Dengan ini mereka percaya segala kekotoran atau bala yang terlekat pada tubuh mereka akan hilang. Semangat roh si mati juga akan hilang dari tubuh badan mereka.

iv)        Makan Tiga Tahun

Kenduri makan tiga tahun merupakan kenduri yang paling besar dan meriah berbanding kenduri-kenduri yang diadakan sebelum ini. Kenduri ini dinamakan Kenduri Minum yang bermaksud makan-makan untuk kenangan.Sebanyak tujuh ekor ikan pari, tujuh ekor ikan yu, tujuh tandan pisang, empat belas ikan lain, satu tempayan tuak, tujuh ekor arak benas, tiga tempayan air tapai, 30 gantang kuih kelupis dan seekor kerbau disediakan.

Kenduri ini diadakan pada waktu malam dan dimulakan pada pukul lapan malam. Sebanyak tujuh talam atau dulang hidangan khas yang mengandungi 30 biji kelupis, seekor ikan yu, seekor ikan pari, dua sikat pisang dan sebatang lilin. Seorang wanita yang telah lanjut usia perlu ada bersama hidangan tersebut yang dijadikan pengurus yang lebih dikenali sebagai pengupeh di kalangan masyarakat Kadazan.

Pengupeh akan duduk di sebelah hidangan tersebut dengan memegang sebilah pedang. Kemudian sebatang lilin yang ada di setiap hidangan dinyalakan. Sebaik sahaja pengupeh menghidupkan lilin, dia akan menjampi untuk memanggil hantu yang hendak makan hidangan tersebut. Hidangan yang ada di dalam talam dimasukkan ke dalam sebuah tempurung kelapa dan tempurung itu akan diletakkan di pangkal tangga rumah. Ini adalah untuk memberitahu hantu supaya tidak mengacau ahli keluarga yang masih hidup di situ.

Sebaik sahaja pengupeh naik ke atas rumah, paluan gong dan gendang akan dibunyikan mengikut nama gendang minum tapai. Ini diikuti dengan tarian semazau yang terlebih dahulu dimulakan oleh seorang lelaki yang dianggap sebagai ketua rumah di situ. Pengupeh akan bangkit untuk memberi minum secawan arak dan secawan tapai kepada lelaki ketua rumah. Pengupeh juga menyorongkan celapa yang berisi sirih pinang. Selepas itu pengupeh menarikan tarian semazau dan menari mengeliling hidangan tersebut sambil diikuti penari yang lain.

Pada keesokan harinya, hidangan perlu diletak di ruang tamu. Talam hidangan itu diperbuat daripada tembaga dan diisi dengan sirih pinang dan rokok daun. Pada waktu malam pesta diadakan pula. Tarian semazau akan ditarikan dengan rancak sekali. Pada mulanya seorang lelaki yang mahir menarikan tarian semazau akan memulakan tarian dengan diikuti oleh tujuh penari perempuan. Selepas itu barulah tarian semazau terbuka kepada penari lain secara bergilir-gilir.

ADAT KEMATIAN KAUM CINA



SEMASA KEMATIAN

Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah dimandikan mayat disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori yang lain terutamanya wanita. Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam. Ini adalah untuk menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya.

PENGHORMATAN TERAKHIR KEPADA SI MATI

Apabila berlaku kematian, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan ditanam. Lazimnya tangisan yang dilakukan perlu diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah membuat jasa. Tangisan ,mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali. Jika ini berlaku, roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan tersiksa. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat terutama dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan amat digalakkan. Tangisan ini seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan.

Seterusnya mayat akan dibawa ke jirat atau tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada zaman dahulu masyarakat Cina mengusung mayat dengan menggunakan pengusung yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik . lazimnya ukiran tersebut mengikut status si mati. Sekiranya si mati daripada golongan berada, ukiran lebih halus dan menarik berbanding golongan biasa. Namun pada zaman sekarang mayat yang telah diletakkan ke dalam keranda akan dimasukkan ke dalam lori kecil yang dikhaskan untuk menghantar mayat ke tanah perkuburan.

Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya. Lagu tersebut adalah berbentuk agama atau lagu-lagu tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesedihan atau takziah. Tidak kurang juga mereka mendendangkan lagu kegemaran si mati ketika hidup. Lazimnya pemuzik tersebut ditempah khas untuk mengiringi jenazah. Iringan muzik akan bermula dari rumah sehinggalah mayat dikebumikan. Biasanya iringan muzik tidak akan berhenti-henti supaya si mati dapat dihiburkan sehingga berada di alam akhirat. Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring  yang diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.

SEMASA PENGEBUMIAN

Mayat akan dimasukkan ke dalam liang lahad yang sedia digali dan lubang tersebut haruslah besar supaya boleh memuatkan keranda. Bagi masyarakat Cina tradisional, mereka memasukkan pelbagai jenis harta milik si mati. Oleh itu liang lahad perlu besar untuk menampung harta milik si mati. Ini adalah penting untuk menunjukkan darjat si mati ketika di dunia dan diketahui oleh orang lain di akhirat kelak. Kini amalan tersebut telah berkurangan kerana telah banyak kejadian menggali lubang kubur dilaporkan sehingga amalan tersebut tidak dilakukan lagi. Hanya kertas yang bercop bentuk duit sahaja digunakan bagi mengelak kejadian mengorek lubang kubur oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

UPACARA PENGEBUMIAN

Bagi masyarakat Cina Kawasan perkuburan yang strategik memainkan peranan penting kerana menjadi lambang kebahagiaan yang bakal dikecapi apabila seseorang telah meninggal dunia. Kawasan perkuburan yang terletak di kawasan yang tinggi adalah lebih baik jika dibandingkan dengan tanah yang rata. Kebanyakan tanah perkuburan terletak di kawasan yang berhampiran jalan raya. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, kawasan seperti itu akan memudahkan roh si mati menemui jalan pulang.Selain itu tanah perkuburan juga dihias dengan menarik. Terdapat beberapa hiasan yang cantik samada daripada ukiran, warna, atau bentuk. Ukiran ini sebagai melambangkan kekayaan si mati ketika hidup. Kubur atau jirat yang besar dan mempunyai bentuk yang menarik menjadi lambang kemewahan. Ini bermakna si mati layak menikmati kemewahan selepas mati seperti ketika hidup. Oleh itu tidak hairanlah masyarakat Cina menyediakan jirat yang besar dan mewah untuk ahli keluarga yang meninggal dunia.

SELEPAS KEMATIAN

Selepas kematian, ahli keluarga akan menjalani adat berkabung. Baju hitam dipakai beberapa hari sehinggalah hari perkabungan tamat. Setelah itu barulah pakaian warna lain boleh dipakai. Bagaimanapun bagi isteri yang kematian suami atau suami yang kematian isteri akan terus memakai baju tersebut lebih lama sebagai berkabung.