Translate

Tuesday 27 November 2012

ADAT KEMATIAN KADAZANDUSUN



SEMASA KEMATIAN

Terdapat beberapa adat yang dilakukan ketika berlakunya sesuatu kematian di kalangan masyarakat Kadazan, Antaranya ialah adat memberitahu, berjaga-jaga dan moginupus.

i)          Memberitahu

Apabila salah seorang di kalangan masyarakat Kadazan meninggal dunia, semua penduduk kampung akan diberitahu tentang kematian tersebut. Ini penting kerana setiap ahli masyarakat perlu bekerjasama supaya kesedihan tidak hanya dialami oleh keluarga si mati.

Setiap anggota masyarakat Kadazan yang tinggal berhampiran tidak boleh melakukan apa-apa pekerjaan terutama apabila upacara pengkebumian dilakukan. Pekerjaan menanam padi amat dilarang. Pekerjaan itu hanyalah sia-sia kerana tidak mendatangkan hasil. Selain itu kemungkinan penyakit akan menimpa mereka pula.

ii)         Berjaga-jaga

Selepas dimandikan dan seluruh badan dilap, mayat tersebut akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah dan kemudian direnjiskan dengan air wangi. Sekiranya semasa hidup si mati menghisap rokok, ahli keluarga akan memasukkan rokok ke dalam mulut si mati supaya tidak kempunan.

Mayat akan disimpan di rumah selama beberapa hari. Semasa mayat diletakkan di ruang tamu, mayat akan dijaga dengan baik. Tujuannya  adalah untuk mengawasi iblis atau jin yang menyerupai seekor burung yang dipercayai akan menerbangkan mayat. Untuk mengelak daripada serangan burung itu, mereka menyangkut pakaian di sekeliling mayat. Burung itu akan menyangka pakaian tersebut adalah tubuh rnanusia.

iii)        Moginupus

Moginupus adalah bahasa Kadazan yang bermaksud simpati terhadap si mati. Ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai akan menangis sekuat hati sebagai menunjukkan simpati terhadap si mati.

PENGEBUMIAN

Pada umumnya masyarakat Kadazan akan mengusung mayat dengan menggunakan keranda atau tajau. Oleh itu mayat terlebih dahulu dimasukkan ke dalam kain yang dibungkus dan diikat pada sebatang kayu untuk memudahkan orang ramai mengangkat mayat tersebut. Usungan mayat itu seringkali disertakan dengan paluan gong, gendang, letupan mercun atau senapang.

Apabila tiba di kubur, mayat itu dijampi oleh seorang tua yang dikhaskan menunggu di liang kubur. Liang itu disapu dengan daun pinang hijau untuk mengelakkan semangat orang ramai yang mengikut ke kubur itu tinggal di liang tersebut.

Kemudian mayat diletakkan di dalam liang dan sebatang kayu beringin dicacakkan di atas pusat mayat. Selepas itu barulah mayat dikambus dengan tanah. Tujuan berbuat demikian untuk mengetahui adakah si mati ingat pada keluarganya atau tidak. Kalau kayu itu bertunas bererti dia masih ingat pada keluarganya tetapi jika tidak, si mati dianggap sudah melupai mereka yang masih hidup.

Setelah itu sebuah pondok kecil beratap daun atau zink dan berdinding papan yang penuh dengan ukiran yang cantik akan didirikan di tengah-tengah kawasan perkuburan. Di tengah-tengah pondok pula diletakkan beberapa jenis kain dan pakaian, cekapa yang berisi dengan sirih pinang, rokok dan sebagainya mengikut kemampuan dan kegemaran si mati semasa hidup.

Ahli keluarga si mati perlu menghantar makanan pada tiap-tiap petang selama tujuh hari berturut-turut. Mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan, sebelum roh si mati berpindah ke tempat lain, roh itu masih memerlukan makanan daripada keluarganya yang masih hidup. Bahan makanan yang disediakan untuk si mati tidak boleh diusik oleh sesiapa. Jika diganggu juga seseorang itu akan dikenakan sugit atau denda sebanyak RM5 atau seekor ayam.

Mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan, sekiranya masa pengkebumian dilakukan pada hari hujan, bermaksud si mati berada dalam kesedihan yang diibaratkan sebagai hujan yang turun itu adalah air mata si mati. Jika panas terik bermakna si mati mendapat kebahagiaan kelak. Bagi mereka yang menguruskan kematian, ahli keluarga wajib menghadiahi mereka sehelai sapu tangan dan dua lembar benang menah. Selain itu mereka juga akan diberi daging kerbau atau lembu.

Apabila balik ke rumah masing-masing, mereka tidak boleh terus naik ke rumah kerana dikehendaki mandi terlebih dahuhu. Semua pakaian ditanggalkan dan direndam sehingga keesokan hari. Barangan yang dipinjam untuk menguruskan hal si mati di rumah, apabila dikembalikan hendaklah dihadiahkan seekor ayam hitam atau putih kepada tuan punya barang. Banang-barang atau harta benda yang ada di dalam rumah si mati pula mestilah dikemaskan dan dicuci sehingga bersih.

SELEPAS KEMATIAN

Sekiranya berlaku kematian, majlis makan akan diadakan. Majlis ini mempunyai beberapa tahap iaitu:

i)          Makan Tiga dan Tujuh Hari

Setelah genap tiga hari mayat dikebumikan, kenduri makan tiga hari akan diadakan pada malam hari. Pada masa itu keluarga si mati akan menitikkan tiga titik lilin ke bawah rumah melalui celah lantai. Sekiranya adat makan tujuh hari dilakukan, titikan lilin sebanyak tujuh kali pula dilakukan.

Kenduri ini hanya diadakan secara kecih-kecilan sahaja. Hanya saudara-mara dan sahabat-handai yang terdekat sahaja dipanggil menghadiri kenduri tersebut. Makanan yang disediakan adalah makanan harian masyarakat Kadazan dan tidak ada makanan istimewa yang disediakan.

ii)         Makan Empat Puluh Hari

Kenduri ini diadakan selepas empat puluh hari kematian si mati. Kenduri kali ini berbeza daripada kenduri yang pertama kerana diadakan pada waktu siang dan malam. Kenduri ini juga lebih besar dengan memanggil seluruh keluarga yang ada pertalian dengan keluarga si mati, sahabat handai yang jauh dan dekat.

Dalam kenduri itu juga seorang kanak-kanak lelaki yang biasanya anak si mati akan pergi ke kubur bapa atau ibunya dengan tujuan menjemput si mati untuk menyertai kenduri tersebut. Setelah kanak-kanak itu pulang dari perkuburan, barulah mereka yang berada di rumah si mati boleh menjamu selera.

iii)        Makan Seratus Hari

Kenduri akan terus diadakan setelah seratus hari kematian. Kenduri kali ini lebih besar jika dibandingkan dengan kenduri empat puluh hari. Jika kenduri dahulu hanya muzik dimainkan, hanya dijamukan dengan ayam, kuih-muih atau buah-buahan, tetapi kali ini kenduri dilakukan dengan menyembelih seekor kerbau atau lembu. Pada masa yang sama beberapa ekor ayam turut disembelih.

Tujuan kenduri seratus hari ini diadakan untuk merasmikan penukaran pakaian putih yang selama ini dipakai sebagai pakaian berkabung keluarga si mati dengan pakaian biasa. Kemudian rambut juga digunting mengikut adat masyarakat Kadazan. Sebaik sahaja ditanggalkan, pakaian tersebut segera dibakar. Ahli keluarga bebas memakai pakaian mengikut kegemaran masing-masing. Dengan ini mereka percaya segala kekotoran atau bala yang terlekat pada tubuh mereka akan hilang. Semangat roh si mati juga akan hilang dari tubuh badan mereka.

iv)        Makan Tiga Tahun

Kenduri makan tiga tahun merupakan kenduri yang paling besar dan meriah berbanding kenduri-kenduri yang diadakan sebelum ini. Kenduri ini dinamakan Kenduri Minum yang bermaksud makan-makan untuk kenangan.Sebanyak tujuh ekor ikan pari, tujuh ekor ikan yu, tujuh tandan pisang, empat belas ikan lain, satu tempayan tuak, tujuh ekor arak benas, tiga tempayan air tapai, 30 gantang kuih kelupis dan seekor kerbau disediakan.

Kenduri ini diadakan pada waktu malam dan dimulakan pada pukul lapan malam. Sebanyak tujuh talam atau dulang hidangan khas yang mengandungi 30 biji kelupis, seekor ikan yu, seekor ikan pari, dua sikat pisang dan sebatang lilin. Seorang wanita yang telah lanjut usia perlu ada bersama hidangan tersebut yang dijadikan pengurus yang lebih dikenali sebagai pengupeh di kalangan masyarakat Kadazan.

Pengupeh akan duduk di sebelah hidangan tersebut dengan memegang sebilah pedang. Kemudian sebatang lilin yang ada di setiap hidangan dinyalakan. Sebaik sahaja pengupeh menghidupkan lilin, dia akan menjampi untuk memanggil hantu yang hendak makan hidangan tersebut. Hidangan yang ada di dalam talam dimasukkan ke dalam sebuah tempurung kelapa dan tempurung itu akan diletakkan di pangkal tangga rumah. Ini adalah untuk memberitahu hantu supaya tidak mengacau ahli keluarga yang masih hidup di situ.

Sebaik sahaja pengupeh naik ke atas rumah, paluan gong dan gendang akan dibunyikan mengikut nama gendang minum tapai. Ini diikuti dengan tarian semazau yang terlebih dahulu dimulakan oleh seorang lelaki yang dianggap sebagai ketua rumah di situ. Pengupeh akan bangkit untuk memberi minum secawan arak dan secawan tapai kepada lelaki ketua rumah. Pengupeh juga menyorongkan celapa yang berisi sirih pinang. Selepas itu pengupeh menarikan tarian semazau dan menari mengeliling hidangan tersebut sambil diikuti penari yang lain.

Pada keesokan harinya, hidangan perlu diletak di ruang tamu. Talam hidangan itu diperbuat daripada tembaga dan diisi dengan sirih pinang dan rokok daun. Pada waktu malam pesta diadakan pula. Tarian semazau akan ditarikan dengan rancak sekali. Pada mulanya seorang lelaki yang mahir menarikan tarian semazau akan memulakan tarian dengan diikuti oleh tujuh penari perempuan. Selepas itu barulah tarian semazau terbuka kepada penari lain secara bergilir-gilir.

1 comment: