SEMASA KEMATIAN
Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan
dan dimandikan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah
dimandikan mayat disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk
mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat
tersebut dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut
adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi
kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal
dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori yang lain terutamanya wanita.
Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu
yang diukir menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam.
Ini adalah untuk menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya.
PENGHORMATAN TERAKHIR KEPADA SI MATI
Apabila berlaku kematian, ahli keluarga,
saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si
mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati diletakkan di
ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan ditanam. Lazimnya tangisan
yang dilakukan perlu diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah
membuat jasa. Tangisan ,mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali. Jika
ini berlaku, roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan tersiksa. Ada
juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan
alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak.
Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik
dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan
mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat terutama dalam
perjalanan menuju ke kawasan perkuburan amat digalakkan. Tangisan ini
seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap
kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan.
Seterusnya mayat akan dibawa ke jirat atau tanah
perkuburan untuk dikebumikan. Pada zaman dahulu masyarakat Cina mengusung mayat
dengan menggunakan pengusung yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik .
lazimnya ukiran tersebut mengikut status si mati. Sekiranya si mati daripada
golongan berada, ukiran lebih halus dan menarik berbanding golongan biasa.
Namun pada zaman sekarang mayat yang telah diletakkan ke dalam keranda akan
dimasukkan ke dalam lori kecil yang dikhaskan untuk menghantar mayat ke tanah
perkuburan.
Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan
perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya. Lagu tersebut adalah
berbentuk agama atau lagu-lagu tradisional masyarakat Cina sebagai lambang
kesedihan atau takziah. Tidak kurang juga mereka mendendangkan lagu kegemaran
si mati ketika hidup. Lazimnya pemuzik tersebut ditempah khas untuk mengiringi
jenazah. Iringan muzik akan bermula dari rumah sehinggalah mayat dikebumikan.
Biasanya iringan muzik tidak akan berhenti-henti supaya si mati dapat
dihiburkan sehingga berada di alam akhirat. Lazimnya pada hari tersebut, ahli
keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan,
apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya.
Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli
keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian
mereka akan memakai baju jejaring yang
diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju
hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang
disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut
kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan
pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.
SEMASA PENGEBUMIAN
Mayat akan dimasukkan ke dalam liang lahad yang
sedia digali dan lubang tersebut haruslah besar supaya boleh memuatkan keranda.
Bagi masyarakat Cina tradisional, mereka memasukkan pelbagai jenis harta milik
si mati. Oleh itu liang lahad perlu besar untuk menampung harta milik si mati.
Ini adalah penting untuk menunjukkan darjat si mati ketika di dunia dan
diketahui oleh orang lain di akhirat kelak. Kini amalan tersebut telah
berkurangan kerana telah banyak kejadian menggali lubang kubur dilaporkan
sehingga amalan tersebut tidak dilakukan lagi. Hanya kertas yang bercop bentuk
duit sahaja digunakan bagi mengelak kejadian mengorek lubang kubur oleh mereka
yang tidak bertanggungjawab.
UPACARA PENGEBUMIAN
Bagi masyarakat Cina Kawasan perkuburan yang
strategik memainkan peranan penting kerana menjadi lambang kebahagiaan yang
bakal dikecapi apabila seseorang telah meninggal dunia. Kawasan perkuburan yang
terletak di kawasan yang tinggi adalah lebih baik jika dibandingkan dengan
tanah yang rata. Kebanyakan tanah perkuburan terletak di kawasan yang berhampiran
jalan raya. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, kawasan seperti itu akan
memudahkan roh si mati menemui jalan pulang.Selain itu tanah perkuburan juga
dihias dengan menarik. Terdapat beberapa hiasan yang cantik samada daripada
ukiran, warna, atau bentuk. Ukiran ini sebagai melambangkan kekayaan si mati
ketika hidup. Kubur atau jirat yang besar dan mempunyai bentuk yang menarik
menjadi lambang kemewahan. Ini bermakna si mati layak menikmati kemewahan
selepas mati seperti ketika hidup. Oleh itu tidak hairanlah masyarakat Cina
menyediakan jirat yang besar dan mewah untuk ahli keluarga yang meninggal
dunia.
SELEPAS KEMATIAN
Selepas kematian, ahli keluarga akan menjalani
adat berkabung. Baju hitam dipakai beberapa hari sehinggalah hari perkabungan
tamat. Setelah itu barulah pakaian warna lain boleh dipakai. Bagaimanapun bagi
isteri yang kematian suami atau suami yang kematian isteri akan terus memakai
baju tersebut lebih lama sebagai berkabung.
Izinkan untuk copy sebagai rujukan saya. tq
ReplyDeleteizinkan untuk copy sebagai rujukan . terima kasih :)
ReplyDelete