Translate

Monday 26 November 2012

ADAT PERKAHWINAN KAUM MELAYU


MERISIK


Dalam budaya Melayu, adat ini merupakan tahap awal menjodohkan teruna dan dara, yang melibatkan pertemuan antara wakil keluarga teruna dengan orang tua pihak dara. Pertemuan tersebut dianggap penting untuk menghormati keluarga pihak dara.
Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini kerana, menurut Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. 

Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya, adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Proses merisik dilakukan dengan tertib dan sopan untuk menjaga dan memelihara nama baik kedua belah pihak. Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki. Lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.


Adakalanya semasa merisik, pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin ‘tanya’ berupa cincin belah rotan. Sekiranya pihak gadis bersetuju, mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Kini, adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu. Justeru itu, mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.

MEMINANG

Setelah kata persetujuan dicapai, ibu bapa pihak lelaki akan mengutuskan wakil yang biasanya dipilih dari kalangan orang-orang tua untuk mewakili mereka meminang si gadis yang dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada si gadis tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak lelaki yang datang meminang. Ini kerana, mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh ‘bertangguh’ untuk memberi jawapan. Ini kononnya, meraka hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi pegangan masyarakat Melayu bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan. 

Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Disamping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang bagi memudahkan pihak si gadis menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.

BERTUNANG

Majlis ini akan dimulakan dari wakil pihak lelaki dengan menyerahkan tepak sirih sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah untuk diberi kepada pihak si gadis dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Kemudian, jari manis si gadis akan disarungkan cincin sebagai tanda sudah bertunang oleh ibu atau saudara pihak lelaki. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Seterusnya, majlis ini diakhiri dengan bacaan doa dan sedikit jamuan ringan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun atau mengikut persetujuan kedua belah pihak.
Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada si gadis dikira hangus. Sebaliknya, jika si gadis yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda. Mengikut adat masyarakat Melayu, sekiranya pihak gadis rupawan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul.
 
Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas. Hal ini kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak si gadis pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan. Namun begitu, ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan.

AKAD NIKAH

Akad nikah merupakan satu acara penting bagi kesahihan dalam perkahwinan masyarakat Melayu. Majlis ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan hantaran sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam.

Di dalam majlis akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walaubagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam. Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan, sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki.

Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan barangan hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya, pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar ditengah-tengah majlis. Manakala, tok kadi akan berjumpa dengan pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum tentang tanggungjawab suami isteri dan perkara yang berkaitan rumahtangga dari sudut agama.

Kemudian, tok kadi akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki menyambutnya dengan jelas sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya. Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak. Sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulanginya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat pula dibaca sejurus sahaja kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabulkan sebagai tanda kesyukuran.

Seterusnya, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang (wudhuk). Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik sambil bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.

BERINAI

Selepas itu, majlis berinai akan dijalankan dimana kedua-dua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula, ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.

Terdapat tiga peringkat berinai iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar. Pertama, berinai curi diadakan tiga malam sebelum hari langsung dan hanya untuk tatapan saudara mara terdekat sahaja. Bakal pengantin perempuan pula dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Manakala, berinai kecil juga diadakan pada waktu petang seperti berinai curi. Namun, ia dilakukan selepas hari berinai curi. Adat ini diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk tatapan saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Ketiga, istiadat berinai besar dijalankan pada malam sebelum majlis langsung atau selepas majlis akad nikah untuk para jemputan daripada kedua-dua belah pihak pengantin. Pada majlis tersebut, pengantin lelaki akan diinaikan terlebih dahulu di atas pelamin diikuti pengantin perempuan. Kemudian, seorang wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan tampil ke hadapan untuk membaca doa selamat selepas selesainya istiadat ini.

Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan. Sebaliknya, pengantin lelaki akan terus pulang ke rumah. Sekiranya rombongan pengatin lelaki datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak. Rumah penanggak ialah rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

MAJLIS PERKAHWINAN

Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, pelbagai persiapan dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga telur. Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah kedua-dua mempelai digelar raja sehari.

Pada hari tersebut, majlis ini diadakan secara meriah dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua mempelai akan memakai pakaian pengantin. Lazimnya, baju songket yang dihias indah dengan perhiasannya sekali. Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis persandingan bermula. Mengikut mak andam tradisional, solekan pengantin didahului dengan jampi serapah untuk menaikkan seri muka pengantin dan diberi makan sireh untuk membuang perasaan gemuruh. Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan untuk meratakan gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini.

Sementara itu, pengantin lelaki akan berarak dengan paluan kompang serta diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. Kemudian, pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin diadakan. Seterusnya, pasangan pengantin dibawa masuk ke rumah untuk adat bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui beberapa halangan bagi mendapatkan pengantin perempuan di atas pelamin. Oleh itu, wakil pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin. Pasangan mempelai akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi bunga telur pada hari tersebut.

Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan. Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis ini selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Bagi sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah. Dalam upacara ini, pasangan pengantin baru akan dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya dilakukan di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan diadakan. Adat ini juga dikenali sebagai majlis bertandang. Majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah sebegitu meriah majlis di rumah pengantin perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang ini dengan hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung tanpa mengadakan majlis persandingan.

Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami isteri tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim selain pasangan suami isteri dapat berkenal-kenalan dengan keluarga kedua belah pihak.














No comments:

Post a Comment